KWSP - Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan
Adakah kita tahu, sebenarnya kita boleh mengeluarkan duit di dalam akaun 2 KWSP kita untuk membuat Pengeluaran Ansuran Bulanan Perumahan.
Ya, memang boleh.
KWSP telah memberikan kelonggaran kepada pembeli seperti kita untuk mengeluarkan duit di dalam akaun 2 untuk membuat pengeluaran ansurans bulanan pinjaman perumahan.
Ramai yang tidak tahu akan hal ini sebenarnya. Tetapi bagaimana cara untuk membuat pengeluaran akaun 2 ini?
Sebenarnya terdapat juga beberapa kaedah lain yang membolehkan kita mengeluarkan duit di dalam akaun 2 kita. Tetapi untuk hari ini eloklah kita mengetahui cara ini.
Had pengeluaran akaun 2
KWSP telah menggariskan beberapa panduan di dalam pengeluaran duit di dalam akaun 2. Antaranya ialah:-
had pengeluaran minimum pengeluaran adalah 6 bulan.
baki di dalam akaun 2 mestilah cukup untuk pengeluaran minimum 6 bulan.
Bagi mereka yang ingin mengeluarkan duit di dalam akaun 2, anda perlu menyemak baki duit anda di dalam akaun 2. Apa yang anda perlu lakukan ialah sila semak bayaran bulanan perumahan anda.
Andaikan:-
Jumlah bayaran bulanan anda = RM1,000.
had pengeluaran minimum pengeluaran = 6 bulan
Jumlah minimum yang perlu ada di dalam akaun 2 = RM1,000 x 6 bulan
= RM6,000
Berdasarkan kiraan di atas, jumlah minimum yang perlu ada di dalam akaun 2 anda ialah RM6,000. Tetapi bagaimana pula jika di dalam akaun 2 ada RM8,000?
Ok, anda harus bersyukur jika duit di dalam akaun 2 melebihi had minimum yang telah di gariskan. Jadi, semasa hendak membuat pengeluaran, pegawai KWSP akan memberitahu bahawa anda boleh mengeluarkan minimum 6 bulan atau lebih dari 6 bulan, terpulang pada anda.
Bagaimana jika ansuran bulanan rumah ada sen-sen?
Biasanya, ansuran bulanan rumah kita tidaklah genap contohnya RM1,100. Biasanya akan jadi RM1,123.25 di sebabkan BFR (Base Financing Rate). Ok untuk masalah ini, ianya bukanlah masalah.
Sama macam contoh di atas, baki minima yang perlu ada dalam akaun 2 adalah RM6,739.50. Namun, kita hanya boleh mengeluarkan bulanan berdasarkan RM1,123.25 sahaja dan tak boleh RM1,124.00. Pihak KWSP akan menasihatkan anda supaya mengeluarkan actual amount ataupun amaun itu di kurangkan kepada RM1,120.00. Kalau amaun yang hendak di keluarkan melebihi ansuran bulanan, KWSP tidak membenarkannya melainkan amaun itu di kurangkan. Dan jika ada lebihan baki keseluruhan, anda boleh mengeluarkan selama 7 bulan dan keatas. Apa yang penting, ianya tidak boleh melebihi ansuran bulanan.
Dokumen yang ada sebelum membuat pengeluaran akaun 2
Sebelum kita pergi terus ke KWSP untuk membuat pengeluaran akaun 2, kita perlu menyediakan dokumen ini:-
- Penyata Baki Pinjaman Perumahan Mengikut Format KWSP
- Kad Pengenalan
- Nombor akaun bank
- Perjanjian Jual Beli Rumah (S&P) (**sediakan lebih baik jika pegawai KWSP minta)
Langkah Pertama - Penyata Baki Pinjaman Perumahan Mengikut Format KWSP
Penyata baki pinjaman perumahan mengikut format KWSP ini hendaklah di dapatkan di bank di mana anda membuat pinjaman jual beli (loan). Jika anda membuat pinjaman dari CIMB, pergi ke CIMB atau e-mailkan contoh surat di bawah ini. Penyata ini adalah amat penting sekali dan merupakan dokumen yang wajib ada. Di dalamnya tercatat pelbagai info yang amat di perlukan oleh KWSP.
...............................................................................................................................................................
NAMA BANK
ALAMAT
Tuan,
Per: Penyata Baki Pinjaman Perumahan Mengikut Format KWSP
Merujuk kepada perkara di atas.
Saya, NAMA ANDA ingin mendapatkan Penyata Baki Pinjaman Perumahan Mengikut Format KWSP.
Tujuan saya mendapatkan Penyata Baki Pinjaman Perumahan Mengikut Format KWSP adalah untuk membuat pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan dari KWSP.
Berikut adalah maklumat mengenai saya dan juga nombor akaun pinjaman saya.
Nama : NAMA ANDA
No IC : xxxxxxxxxxxxxx
Alamat : ALAMAT RUMAH
No Akaun Pinjaman : xxxxxxxxxxxxxx
Di harap, pihak tuan boleh mengemukakan Penyata Baki Pinjaman Perumahan Mengikut Format KWSP itu dengan kadar segera.
Jika terdapat keraguan atau kemusykilan dari pihak tuan, pihak tuan boleh menghubungi saya di talian NOMBOR TELEFON ANDA.
Kerjasama dari pihak tuan amat saya hargai
...............................................................................................................................................................
Langkah Kedua - Pergi ke KWSP
Setelah pihak bank menyiapkan Penyata Baki Pinjaman Perumahan Mengikut Format KWSP, mereka akan menelefon anda. Jangka masa yang di ambil oleh pihak bank untuk menyiapkan penyata ini adalah 1 hingga 2 minggu.
Setelah anda ambil penyata ini, segera pergi ke KWSP (sebab memang tak sabar sebenarnya).
Pergi ke kaunter untuk ambil nombor giliran (jangan lupa untuk memberitahu pegawai yang menjaga kaunter bahawa anda ingin mengeluarkan akaun 2 untuk bayaran ansurans bulanan perumahan) dan apabila tiba giliran anda pergilah ke kaunter tersebut dengan yakinnya.
Jangan lupa untuk membawa semua dokumen yang telah di beritahu di atas.
Dan apabila pegawai telah menyemak semua dokumen, pegawai akan bertanya:-
- Nak masuk terus ke akaun perumahan; atau
- Nak masuk ke akuan sendiri.
Pilihan di tangan anda. Di nasihatkan supaya masuk ke akaun sendiri dan jangan lupa beri nombor akaun bank anda kepadanya.
Langkah ketiga - Tunggu mesej dari KWSP
Jika anda telah selesai urusan di KWSP, dalam masa 14 hari bekerja, KWSP akan menghantar mesej ke telefon anda mengatakan duit anda telah di kreditkan di dalam akaun anda.
Masa ni lah kita bayar duit rumah itu sendiri. Suka?
Kalau ada lebihan bayaran tu, boleh lah belanja barang dapur sedikit.
rujukan: